DR Radzi (tengah) bertanya khabar kepada bapa mangsa maut ketika menyelamat seorang remaja di sebuah lombong di Taman Putra Perdana.
Nor Fazlina Abdul Rahim

Pasir Mas: Orang ramai diminta supaya tidak memperlekehkan enam anggota bomba yang lemas ketika mencari dan menyelamatkan seorang remaja, Rabu lalu, kerana mereka melakukan pengorbanan besar kepada negara.

Malah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Jidin berkata, rakyat juga tidak patut mengeluarkan kata-kata negatif terhadap anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) itu yang bertugas tanpa mengira keselamatan diri mereka sendiri.

Katanya, beliau kesal dengan segelintir sikap masyarakat yang hanya tahu menjadi netizen memuat naik komen negatif tanpa mengira jasa dan pengorbanan wira berkenaan.

“Justeru, saya meminta ahli keluarga Allahyarham supaya mengabaikan sahaja sebarang komen negatif kerana jasa anggota terkorban ini sangat besar, bukan sahaja kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebaliknya kepada negara dan keluarga.

“Bayangkan mereka keluar dari balai dalam keadaan sihat, namun dalam sekelip mata, siapa sangka keenam-enam mereka meninggal dunia ketika operasi.

“Sikap manusia (netizen) yang tiada kerja memang sentiasa mencari negatif, tidak memikirkan jasa anggota terkorban dan menjaga hati keluarga itu sendiri,” katanya ditemui ketika melawat keluarga Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik Shaari di Kampung Kubang Terap di sini, semalam.

Hadir sama, isterinya Balkis Zakaria.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Wan Kamilah Wan Yakub, 53, berkata dia tidak pernah menyesal anaknya memilih kerjaya sebagai anggota bomba kerana itu minat arwah sejak remaja.

“Walaupun anak saya meninggal dunia ketika bertugas, pada usia baru 25 tahun, saya tidak berasa kesal kerana dia bertugas untuk negara.

“Andai satu hari nanti ada cucu saya yang mahu menyertai keluarga bomba sebagaimana arwah, saya tidak akan menghalang,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, enam anggota PPDA Selangor terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh dalam lombong di Puchong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:13 AM