Nor Aina bersama keluarga menyiram air di pusara Izatul di Tanah Perkuburan Islam Mukim Lubuk Setol.
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: “Ayah kini berada di syurga,” kata Nur Aina Damia, 7, anak kepada Allahyarham Izatul Akma Wan Ibrahim, seorang daripada enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang meninggal dunia ketika operasi mencari dan menyelamat di Puchong, Selangor, Rabu lalu.

Nur Aina Damia dikatakan kerap menuturkan ungkapan itu kepada ahli keluarganya sejak mengetahui bapanya sudah tiada.

Malah, kanak-kanak itu dilihat lebih tenang menerima hakikat berkenaan meskipun terlalu kecil untuk memegang gelaran anak yatim.

Datuknya, Wan Ibrahim Mat Daud, 60, berkata, hampir setiap hari anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu ayahnya meninggal dunia dan berada di tempat istimewa di syurga.

“Saya pula masih cuba menguatkan semangat apabila melihat keadaan menantu dan anak arwah berusia dua hingga tujuh tahun yang pasti lebih terkesan dengan kejadian yang berlaku.

“Hanya doa yang mampu saya sedekahkan kepada arwah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bechah Kaki, di sini, semalam.

Terdahulu, Wan Ibrahim menerima kunjungan Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz yang turut menyampaikan sumbangan.

Baginda juga berkenan menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik Shaari yang turut terkorban dalam tragedi sama di Kampung Kubang Terap, Pasir Mas.

Sementara itu, Wan Ibrahim mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan semua pihak yang mendoakan anaknya selain memberi kata-kata semangat buat keluarga mereka.

“Saya bangga dengan anak saya, arwah adalah wira sebenar yang sanggup menggadaikan nyawa demi menjalankan tugas kepada masyarakat dan negara.

“Tragedi yang terjadi kepada anak saya tidak pernah sesekali mengubah pendirian kami sekeluarga yang mengagumi tugas bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:18 AM