KEADAAN kawasan yang terjejas akibat fenomena air laut pasang di Kapar, Klang, tahun lalu.
Rafidah Mat Ruzki

Shah Alam: Kerajaan Selangor kini bersiap sedia bagi menghadapi fenomena air laut pasang besar antara 9 hingga 11 Oktober ini.

Unit pengurusan Bencana Selangor dalam satu kenyataan berkata, negeri itu juga dijangka menerima paras hujan tertinggi sepanjang Oktober berdasarkan kepada maklumat daripada Pejabat Meteorologi Malaysia.

Justeru, kerajaan negeri sudah mengarahkan persediaan menghadapi bencana tahap tinggi dilaksanakan membabitkan daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Fenomena air laut pasang besar diramal berlaku pada 9 hingga 11 Oktober 2018 di pesisiran pantai Selangor dengan ketinggia paras air laut mencecah 5.6 meter.

“Jika cuaca hujan lebat dan keadaan angin kencang berlaku pada masa sama, risiko berlakunya banjir akan meningkat.

“Kerajaan negeri menasihatkan penduduk di kawasan berisiko dapat mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dari semasa ke semasa,” katanya.

Diramalkan, paras air pada 9 Oktober mampu mencecah 5.5 meter ketika air pasang pada jam 6.02 pagi dengan paras tertinggi 5.6 meter pada jam 6.39 pagi, Rabu ini.

Selepas paras 5.5 meter pada jam 7.13 pagi Khamis, paras air kembali ke paras rendah keesokan harinya.

Sementara itu, kawasan yang dijangka terbabit dan berisiko tinggi mengalami banjir akibat fenomena air pasang besar adalah di pesisir Pantai Bagan Lalang, Kampung Tanjung Rhu, Kampung Bagan Lalang dan Kampung Orang Asli Bagan Lalang di Sepang; Pantai Kelanang, pesisir kawasan Tanjung Sepat, Jalan Harmoni, Kwee Kee Fishery, Istana Pantai Bahagia, Rumah Penginapan Persekutuan, Jalan Kundang 6, Pekan Tanjung Sepat dan Tanjung Sepat di Kuala Langat.

Turut terbabit, Pengkalan Tok Muda, ban Sementa, ban Sungai Keramat Batu 5 Kapar, Jalan Pandamaran, Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, Kampung Perepat-Jeti Nelayan Kampung Perepat, Northport di Pelabuhan Klang, Pulau Ketam dan Telok Gong di Klang.

Di Kuala Selangor pula, kawasan yang dijangka terbabit termasuk di Pantai Remis Jeram, Kampung Lembah Pantai, Kampung Tok Adam, Kampung Bagan Pasir, Kampung Bagan Sungai Kajang serta Kampung Bagan Pasir Penambang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:38 AM