SITI Azura menunjukkan salinan laporan polis dan resit pembayaran perkhidmatan katering di rumahnya di Umbai.
Nur Saliawati Salberi

Melaka: “Bukannya sedikit, RM11,100 kami bayar. Mana hendak cari duit sebanyak itu ketika majlisnya pula tidak sampai seminggu,” luah ibu bakal pengantin, Siti Azura Mohd Bakit, 51, yang mendakwa ditipu syarikat katering di negeri ini.

Menurut Siti Azura, dia tidak menyangka syarikat berkenaan yang turut menggunakan khidmat artis terkenal sebagai duta sanggup bertindak begitu sedangkan majlis perkahwinan anak keduanya itu berlangsung Sabtu ini.

Katanya, anak perempuannya yang berusia 24 tahun itu mengetahui mengenai pakej ditawarkan syarikat terbabit melalui laman sosial Facebook, tahun lalu, apatah lagi ia turut menggunakan khidmat artis terkenal sebagai duta.

“Kami hanya tahu ditipu selepas anak terima panggilan telefon daripada bekas pekerja syarikat itu, Jumaat lalu. Apabila ke pejabatnya di Cheng, premisnya kosong.

“Bayaran RM11,100 itu pakej bagi makanan untuk 1,000 tetamu, hidangan pengantin dan kanopi.

“Mujur kami tidak ambil pakej lengkap seperti ditawarkan termasuk pelamin dan busana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Umbai di sini, semalam.

Siti Azura berkata, anaknya memilih mengambil katering kerana mahu memudahkan urusan perkahwinan, tetapi sebaliknya keadaan menjadi kelam-kabut kerana persiapan khususnya makanan tetamu dan khemah dibuat pada saat akhir.

“Kalau diikutkan memang tiada majlis kerana bukan sedikit wang dibelanjakan dan ia perlu diuruskan sebelum Jumaat.

“Alhamdulillah dengan bantuan adik-beradik dan saudara terdekat, persiapan berjalan lancar selain kami mengambil keputusan memasak secara rewang,” katanya yang membuat laporan bersama suami mewakili anaknya di Balai Polis Banda Hilir di sini, Jumaat lalu.


LAPORAN Harian Metro, semalam.

Sementara itu, seorang lagi bakal pengantin, Nur E’zzati Razali, 23, berkata, apa yang selama ini dibimbangkan mengenai khidmat katering akhirnya benar-benar berlaku kepada dirinya.

Katanya, walaupun majlis perkahwinannya Disember depan, dia membayar pendahuluan RM4,600.

Menurutnya, dia mengambil pakej lengkap termasuk hidangan untuk 1,000 tetamu, hidangan pengantin dan kanopi serta pelamin pada harga ditawarkan RM15,000, selain turut dijanjikan hidangan kambing golek percuma.

“Bayaran terakhir dibuat pada 18 Ogos lalu selepas diminta menjelaskan 40 peratus deposit sebelum tiga bulan majlis berlangsung.

“Selepas insiden ini, saya serik mengambil pakej katering lagi dan semua urusan perkahwinan saya serahkan kepada ibu untuk uruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 12:31 PM