Wartawan NSTP

JENAZAH Ketua Pegawai Eksekutif, Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, dibawa keluar dari kawasan Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, Petaling Jaya, jam 12.45 tengah hari ini.

Difahamkan, jenazah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi membolehkan proses bedah siasat kedua mengenal pasti punca kematiannya.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini, membenarkan penggalian semula kubur Nazrin Hassan diteruskan, kira-kira 10.30 pagi ini.

Ia selepas mahkamah menolak permohonan isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, melalui peguam LS Leonard, pagi ini, bagi menangguhkan penggalian semula kubur suaminya.

Pegawai dan anggota polis, bersama pihak Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilihat mula memasuki kawasan perkuburan sejak jam 8.30 pagi.

Turut kelihatan, memasuki kawasan ini adalah pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Penggalian semula berkenaan dijalankan atas permintaan abang kandung Nazrin, Dr Malek Hassan, supaya bedah siasat kedua dapat dilakukan.

Nazrin ditemui meninggal dunia di rumahnya di Mutiara Damansara pada Julai lalu sebelum polis mengklasifikasikan kejadian sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Kubur Nazrin digali semula

Minta tangguh gali semula kubur CEO

Tetap syarat gali kubur CEO [METROTV]

Kubur CEO Cradle Fund digali semula... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 1:12 PM
VAN membawa jenazah Nazrin. FOTO Saddam Yusoff