GAMBAR hiasan
Suhaila Shahrul Annuar


SEBANYAK 8,313 kes penipuan siber direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga 3 Oktober lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia bimbang akan peningkatan jumlah jenayah siber itu kerana sepanjang tahun lalu, sebanyak 10,203 kes direkodkan.

Beliau menjelaskan empat penipuan yang paling banyak membabitkan penipuan telekomunikasi (termasuk Macau Scam); pinjaman tak wujud; 419 Scam (African Scam) dan penipuan berkaitan dengan pembelian dalam talian.

“Sehingga 3 Oktober lalu, 3,816 kes penipuan telekomunikasi atau tipu panggilan direkodkan dengan jumlah wang membabitkan RM162.6 juta; Pinjaman Tak Wujud sebanyak 286 kes (RM37.2 juta); 419 Scam sebanyak 1,398 kes (RM80 juta) dan pembelian dalam talian sebanyak 2,813 kes (RM19.5 juta).

“Jenayah siber ini termasuk penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian identiti dan pencerobohan data, ia adalah ancaman serius kepada rakyat kerana penipuan ini mengakibatkan kehilangan ratusan ribu ringgit yang menjadi hasil titik peluh mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengadakan beberapa perbincangan dengan JSJK bagi mencari kaedah untuk memerangi jenayah ini.

“Satu cadangan yang sedang dipertimbangkan adalah untuk membentuk jawatankuasa kerja terdiri daripada wakil daripada SKMM, institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi untuk bekerjasama dengan JSJK bagi mempercepatkan perkongsian maklumat dan memberi maklumbalas serta-merta kepada orang ramai sekiranya didapati elemen penipuan dikesan.

“Selain itu, antara cadangan lain yang akan dipertimbangkan adalah permintaan Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh supaya syarikat telekomunikasi menaik taraf sistem mereka bagi membantu pihak polis mengesan alamat Protokol Internet (IP) yang digunakan oleh 'scammer' atau penjenayah siber.

“Inisiatif lain yang sedang dijalankan sejak Mac lalu adalah pendaftaran pelanggan prabayar yang mana syarikat telekomunikasi mengemas kini pangkalan data pelanggan prabayar mereka untuk memastikan semua nombor yang aktif disahkan dan mengandungi maklumat terkini pengguna.

“Perkhidmatan nombor prabayar akan ditamatkan sekiranya pengguna gagal mengemaskini maklumat.

“Maklumat itu juga akan disemak semula dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertujuan mengeluarkan rekod pelanggan prabayar yang diragui atau 'phantom numbers' berikutan penemuan percanggahan butiran pendaftaran oleh SKMM selepas pelaksanaan pengesahan data dibuat menggunakan rekod JPN," katanya.

Beliau berkata, Kementeriannya turut menggesa syarikat telekomunikasi untuk bekerjasama dengan pihak penguatkuasa dalam memberi sebarang bantuan yang mereka perlukan ke arah usaha mencegah dan memerangi jenayah ini.

“Kementerian juga akan meningkatkan usaha untuk mendidik dan memaklumkan orang ramai mengenai penipuan ini melalui pengumuman khidmat awam (PSA) dalam radio, televisyen dan dalam bentuk media lain akan untuk memastikan orang ramai mengetahui dan sentiasa berjaga-jaga supaya tidak menjadi mangsa penipuan ini.

“Langkah lain yang akan dilihat termasuk mengetatkan peraturan bagi meluaskan skop serta meningkatkan penguatkuasaan yang mana diharapkan semua inisiatif ini akan mewujudkan kesedaran mengenai jenayah siber dan mengurangkan kejadian penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 6:45 PM