Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk mengorbankan Aidilfitri (kanan) dan Mohd Syazwan dalam kemalangan ngeri di Sungai Petani. FOTO Omar Osman


PERASAAN tidak sedap hati seorang anak selepas mengetahui bapanya keluar rumah akhirnya menjadi kenyataan apabila orang tuanya yang maut dalam kemalangan bersama seorang lagi lelaki selepas kereta dinaiki mereka dirempuh treler di Jalan Sungai Lalang ke Bukit Selambau, di Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, pemandu Proton Wira, Aidilfitri Abdul Hamid, 41, dan rakannya Mohd Syazwan Othman, 30, maut di tempat kejadian selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan treler yang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan mangsa.

Malah kedua-dua kenderaan terbabit kemudian terhumban ke ladang getah di tepi jalan menyebabkan kereta mangsa terperosok ke bawah treler itu.

Anak Aidilftri, Mohd Hafiz Abdullah, 21, berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 11 pagi dia melihat bapa dan rakannya itu keluar dari rumah di Kampung Belakang Taman, Sungai Lalang.

“Ketika itu saya baru hendak keluar berjumpa dengan kawan dan ada bertanya dengan mak (Khalasom Mustafa, 38) ayah hendak ke mana namun mak memberitahu dia tidak tahu.

“Mak kata mungkin ayah pergi ziarah kawannya di Kampung Batu Puteh, Sungai Kob, Kulim namun saya cakap padanya yang saya berasa tidak sedap hati seperti ada sesuatu akan berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani tadi.

Menurutnya, bagaimanapun sebaik tiba di rumah jam 5 petang, dia melihat ibunya menangis sambil melihat telefon bimbitnya yang terpapar gambar kereta bapa remuk di bawah treler.

“Mujur ayah tidak bawa dua adik kembar Nur Alia Natasya Aidilfitri dan Mohd Daniel berusia tiga tahun kerana selalunya ayah akan bawa mereka bersamanya setiap kali keluar ke mana-mana pun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dari arah Sungai Lalang menghala ke Bukit Selambau hilang kawalan di kawasan selekoh dan memasuki laluan bertentangan.

“Treler itu kemudian merempuh kereta Proton Wira dari arah bertentangan menyebabkan kereta terbabit terperosok di bawah lori selepas terbabas ke dalam ladang getah di tepi jalan,

“Polis juga terpaksa meminta bantuan pasukan bomba bagi mengeluar kereta dan mayat mangsa yang tersepit sebelum mayat kedua-duanya ditemui selepas treler itu dialihkan menggunakan kren.

“Mayat dihantar ke HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 9:43 PM