PENDUDUK mengharung air selepas banjir melanda Kampung Tanjung Pari, Siong, Baling, hari ini. FOTO ihsan APM.
Safuri Kamarudin


LAPAN keluarga membabitkan 50 penduduk Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong, Baling dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Risda berikutan banjir kilat melanda kampung itu, malam ini.

Hujan lebat berterusan sejak 5 petang menyebabkan air Sungai Ketil melimpah dengan cepat dan memasuki rumah penduduk pada 8 malam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata hujan lebat menyebabkan air Sungai Ketil melimpah dan memasuki rumah penduduk sedalam satu meter.

Beliau berkata, lapan keluarga terpaksa dipindahkan kerana rumah mereka terjejas teruk.

“Banjir kali ini lebih teruk berbanding kelmarin kerana air naik dengan mendadak sehingga paras tingkap rumah.

“Penduduk terpaksa berpindah segera ke tempat selamat bagi mengelakkan kejadian buruk kerana keadaan cuaca gelap,” katanya.

Menurutnya, semua agensi penyelamat membantu memindahkan mangsa banjir iaitu anggota APM, pejabat daerah, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) , Majlis Daerah Baling (MDB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 10:18 PM