SEBAHAGIAN orang ramai yang hadir pada Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia di Port Dickson, malam ini. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Wartawan NSTP
cnews@nstp.com.my


MAJLIS Veteran Tentera akan diaktifkan kembali bagi menjaga kebajikan bekas anggota tentera dan mereka yang masih berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, walaupun kerajaan berdepan kekangan kewangan, namun kebajikan warga tentera akan terus dibela.

“Saya berada di Sabah selama tiga hari bersama dengan anggota tentera dan polis, melawat anggota keselamatan kita yang berkawal di sempadan Malaysia-Filipina.

“Saya berdialog dengan mereka. Mereka memberikan pandangan masing-masing dan walaupun kekurangan peralatan, mereka tetap menyatakan komitmen untuk menjalankan tugas dengan penuh amanah.

“Justeru, walaupun kita berdepan masalah kewangan, kita akan hidupkan kembali Majlis Veteran Tentera yang sudah lama tidak bersidang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia di Waterfront Port Dickson, malam ini.

Turut hadir, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar ibrahim.

Anwar berdepan pertandingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 10:39 PM