PENDUDUK Orang Asli baring atas jalan di sekatan Kampung Kaleg, Pos Tohoi, dekat Gua Musang.
Mohd Zulkifli Zainuddin

Kota Bharu: Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan kes saman syarikat peladangan durian Musang King terhadap Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JARINGAN), Mustafa Along berhubung isu sekatan di Gua Musang.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Ahmad Bache selepas peguam mewakili defendan, A Saha Deva tidak hadir ke mahkamah semalam.

Peguam mewakili plaintif, Zaidan Ali berkata, sepatutnya semalam dijadualkan untuk pendengaran bantahan daripada defendan berhubung satu injunksi yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi di sini, 19 September lalu.

“Mahkamah sebelum ini mengeluarkan satu injunksi supaya penduduk Orang Asli tidak membuat sekatan. Jadi sepatutnya hari ini (semalam) defendan hadir ke mahkamah berhubung injunksi itu.

“Namun kami dimaklumkan peguam defendan (Saha Deva) berada di luar negara. Hakim menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh untuk perbicaraan kes saman M7 Plantation Sdn Bhd terhadap defendan (Mustafa) berhubung sekatan yang dilakukan mereka,” katanya ketika ditemui selepas prosiding itu semalam.

Terdahulu, dalam kes berasingan, Mustafa memfailkan satu tuntutan di Mahkamah Majistret Gua Musang dengan menamakan kerajaan negeri Kelantan, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Datuk Zahari Ibrahim, Pengarah Tanah dan Galian negeri Datuk Zamri Ismail serta dua syarikat, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd dan M7 Plantation Sdn Bhd sebagai responden.

Tuntutan itu dibuat selepas Orang Asli mendakwa kemungkinan akan timbul ketidaktenteraman berhubung operasi merobohkan sekatan yang dilakukan pihak berkuasa.

Pada 28 Ogos lalu dilaporkan 400 kakitangan Jabatan Perhutanan Kelantan, polis, Pejabat Tanah dan Galian dan Angkatan Pertahanan Awam merobohkan halangan di Pos Tohoi, Pos Bihai dan Pos Pasik, Gua Musang.

Bagaimanapun, 29 September lalu, 300 Orang Asli dilaporkan bertegas mempertahankan tiga sekatan laluan balak yang dibina mereka daripada dirobohkan pihak tertentu.

Mustafa mengakui menerima saman daripada syarikat ladang durian itu atas dakwaan menghalang aktiviti mereka dengan mendirikan sekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 11:46 AM