KEADAAN dua kereta selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 59 Jalan Kota Tinggi - Kluang berhampiran Kilang Kelapa Sawit Felda Ulu Penggeli di Kluang kira-kira 1 pagi, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Adnan Ibrahim


TIGA maut manakala tujuh lagi mangsa parah dalam kemalangan babit tiga kenderaan, di Kilometer 59 Jalan Kota Tinggi - Kluang berhampiran Kilang Kelapa Sawit Felda Ulu Penggeli dekat Kluang, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi, mangsa yang maut dikenali sebagai Rafeah Jaafar, 57, dari FELDA Ulu Belitung, Raveena Christy Rentap, 20, dari Taman Kota Masai dan penunggang motosikal yang juga seorang warga Indonesia, Dedi Irawan, 19, bekerja di FELDA Ulu Penggeli.

Tujuh mangsa yang parah ialah Nor Hafira Zainal, 23, Mohd Haswan Zainal, 19, Zaleha Jaafar, 56, Mohd Abiq Syazwan Mohd Fadzil, 3, Azrul Afzam Suriya, 24, Mohd Hanafi Fauzi, 24, semuanya dari FELDA Ulu Belitung serta pembonceng motosikal warga Indonesia dikenali sebagai, Marzoan yang bekerja di Ulu Penggeli.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila kereta yang dipandu Azrul Afzam dari arah Kluang melanggar motosikal.

"Akibat perlanggaran itu, motosikal ditunggang Dedi Irawan dan dibonceng Marzoan terhumban ke dalam parit, manakala kereta terbabit terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

"Pada masa sama, kereta dipandu Nor Hafira bersama empat penumpang dari arah Kota Tinggi tidak sempat mengelak dan melanggar kereta pertama itu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Mohd Abduh berkata, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat serta rawatan sebelum dituntut waris, manakala mangsa yang parah turut dirawat di hospital yang sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 12:21 PM