PUTRAJAYA.
Mohd Anwar Patho Rohman dan Nora Mahpar dan Farah Adilla

PUTRAJAYA dan Cyberjaya akan menjadi wilayah ujian rangkaian 5G bagi tempoh setahun bermula November ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, kedua-dua bandar berkenaan yang dibangunkan dengan jaringan ketersedian fiber dikenal pasti sebagai lokasi paling ideal untuk menguji signal 5G.

Katanya, inisiatif itu akan diketuai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan menubuhkan satu jawatankuasa kerja yang membabitkan pentadbiran Cyberjaya dan Putrajaya.

“Ujian perkhidmatan 5G adalah perlu bukan hanya dari segi teknologi namun membolehkan kerajaan mempelajari mengenainya dan mengenal pasti dasar, undang-undang dan perancangan lebih teliti memandangkan pelaksanaan 5G akan menjadikan ia berbeza berbanding standard sebelum ini.

“Bermula November, bagi tempoh setahun, syarikat penyedia telekomunikasi, penyelidik dan syarikat pemula dialu-alukan untuk mengendalikan ujian 5G di Cyberjaya dan Putrajaya dalam usaha meneroka dan mengenal pasti dasar pelaksanaannya,” katanya sempena Forum Malaysia di Era Baharu anjuran CIMB, Maybank dan RHB di Kuala Lumpur, semalam.

Pengumuman itu sejajar dengan pengenalan Pelan Sambungan dan Fiber Negara (NFCP) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Menerusi pelan itu, Gobind berkata, kerajaan memperincikan enam sasaran antaranya liputan jalur lebar mencapai 98 peratus menjelang 2023 dengan kadar kelajuan minimum 30Mbps.

Katanya, pelan itu juga menyasarkan perkhidmatan internet berkelajuan Gigabit di kawasan berimpak tinggi dan lokasi perindustrian strategik pada 2020 manakala semua negeri pada 2023.

“Ini bagi memastikan pelaksanaan 5G dapat dilaksanakan dengan berkesan apabila dasar atau standard sudah dimuktamad,” katanya.

Beliau berkata, bagi menggalakkan pembangunan industri jalur lebar berkelajuan tinggi, kerajaan akan menamatkan rangkaian kuprum pada 2023.

“Bukan rahsia lagi liputan fiber kita terkebelakang berbanding jiran yang lain. Untuk atasi masalah ini, NFCP akan menamatkan rangkaian kuprum dan pembangunan baharu seharusnya dilengkapi dengan rangkaian fiber.

“Menjelang 2022 juga, kita sasarkan 70 peratus sekolah, pejabat kerajaan, hospital, balai polis dan bomba akan tersedia dengan perkhidmatan jaringan fiber,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 2:05 PM