MOHD Shahrir memberi makan lembu baka Belgian Blue yang diternak di kandangnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


AKIBAT terlalu sayangkan 13 lembu baka ‘Belgian Blue’ yang diternak sejak 2010, pemuda sanggup bermalam di kandang lembunya di Kampung Cepoh, Kuala Berang, sejauh 20 kilometer dari rumahnya di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, bagi melindungi ternakannya itu daripada dicuri.

Mohd Shahrir Mustapha @ Harun, 36, berkata, dia tidak kisah tanggapan masyarakat mengenai ‘kegilaannya’ terhadap lembu baka itu sehingga sanggup meninggalkan keselesaan berada di rumah dan tidur bersama lembu setiap malam di kandang ternakan itu.

“Lembu baka saya bernilai lebih RM10,000 seekor, justeru risiko ia dicuri sangat tinggi. Sebagai langkah berjaga-jaga saya sanggup menemani lembu di kandang pada setiap malam.

“Jika orang yang tidak faham, mereka mengganggap dan menuduh perbuatan saya itu pelik dan terlalu taksub pada usaha menternak lembu baka ini, tetapi di kalangan penternak, ia sudah menjadi asam garam untuk memastikan lembu terjaga rapi.

“Bukan sahaja bermalam di kandang lembu, tetapi beberapa tahun sebelum ini saya pernah tidur di tepi anak lembu yang kematian ibu di kandangnya kerana bimbang ia mati kesejukan kerana baru dilahirkan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Shahrir berkata, selain lembu baka ‘Belgian Blue’ itu, dia terlebih dahulu menternak kambing ‘Jamnapari’ dan ‘Saanen’ pada 2008 dan kini mempunyai 20 kambing yang produktif mengeluarkan susu dan mendapat permintaan tinggi untuk dagingnya.

“Di mata ramai orang, kegiatan yang dijalankan itu sangat menjijikkan kerana perlu bergelumang dengan najis dan lumpur, tetapi sebenarnya ia jauh lebih menguntungkan daripada bekerja makan gaji di sektor kerajaan atau swasta.

“Lembu yang diternak itu bukan berharga RM5,000 atau RM6,000 seekor, tetapi mencecah puluhan ribu bergantung kepada saiz dan usia, justeru ia memberi pulangan menguntungkan apabila dijual.

“Biarpun kos keseluruhan makanan untuk semua ternakan sebanyak RM2,000 sebulan, namun ia berbaloi kerana harga pasaran lembu baka itu tidak kekal dan biasanya boleh dijual dengan harga tinggi untuk seekor,” katanya.

Beliau berkata, rekod harga lembu termahal yang pernah dijualnya ialah pada November tahun lalu, iaitu seekor lembu baka ‘Belgian Blue’ seberat 828 kilogram (kg) berusia 11 bulan dengan harga RM17,000.

“Pada 2016, lembu ‘Belgian Blue’ kacukan ‘charolais’ seberat 634kg pernah dijual dengan harga RM12,000 seekor untuk disembelih pada satu Program Kementerian Pertanian di Kemaman.

“Ramai juga yang datang ke kandang untuk membeli lembu diternak itu, tetapi tidak semua lembu itu saya sedia untuk menjualnya biarpun ditawarkan dengan harga tinggi kerana perasaan sayang pada ternakan itu melebihi wang ringgit.

“Terbaru pada September lalu, saya membeli lembu daripada rakan ternak lain dengan harga RM15,000 seekor untuk dijadikan pembaka dan ia seberat 750kg,” katanya.

Beliau berkata, dia tidak membela lembu itu sekadar memberi makan, tetapi turut membelai dan menjaganya dengan rapi terutama membabitkan kesihatan ternakan itu.

“Oleh demikian, setiap lembu yang diternak mempunyai nama timangan masing-masing antaranya, Boss, Benz, Miqaila, Black dan Thor.

“Ramai orang menternak lembu dan inginkan lembu gemuk dan membiak, tetapi tidak ramai penternak yang menekankan aspek kesihatan lembu itu.

“Menyediakan makanan yang banyak tidak semestinya akan membuatkan lembu itu gemuk sekiranya vitamin dan suntikan pencegahan penyakit tidak diberi, justeru sebelum menjadi penternak, ilmu perternakan perlu dipelajari terlebih dahulu supaya usaha tidak menjadi sia-sia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 2:40 PM