Tertuduh, Mazlan diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin


SUSPEK kes samun, mendatangkan kecederaan dan memaksa pasangan warga emas menelan pil tidur dalam kejadian di Kampung Pernu awal September lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

Mazlan Ahmad, 41, dari Sungai Petani, Kedah bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas barangan kemas, wang tunai dan telefon bimbit membabitkan kerugian RM30,000 milik Mariam Mahmud, 66, dan suaminya, Alias Simin, 67.

Tertuduh juga didakwa menggunakan kacip pinang dan pisau sebagai senjata ketika melakukan rompakan atau cuba menyebabkan kematian, menyebabkan kecederaan parah terhadap kedua-dua mangsa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim mencadangkan mahkamah supaya tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh kerana perbuatannya terhadap pasangan warga emas itu disifatkan sebagai kejam, namun menetapkan RM30,000 sekiranya mahkamah mahu membenarkan tertuduh dijamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu supaya dikenakan jaminan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 November depan untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 4:24 PM