Hairudin. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Hairudin. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein

BEKAS Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas tuduhan menerima suapan RM4,200, tahun lalu.

Tertuduh, Hairudin Ngadiron, 43, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan utama dan pilihan selepas kedua-duanya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, didakwa secara rasuah menerima RM4,200 iaitu bayaran membaiki kenderaan Toyota Land Cruiser Prado daripada Pengurus SMR Cahaya Enterprise, Razali Sawon, melalui TH Motorsport, di bengkel dekat Jalan Dato’ Haji Kosai, Parit Keroma, Muar, pada 15 Mac 2017.

Suapan itu adalah untuk dirinya sendiri sebagai upah membantu mendapatkan kerja di maktab berkenaan pada 2016 iaitu pembaikan bangunan dan pagar keselamatan di pondok pengawal maktab, kerja pembaikan lapang sasar semi ‘indoor’ 25 meter serta perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan kolam renang dan kolam junam di kompleks sukan maktab terbabit.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan yang ditawarkan, tertuduh didakwa pada hari dan di tempat sama menerima nilai suapan itu daripada individu sama dengan tiada balasan, yang mana dia tahu ia ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai penjawat awam dan ada kaitan dengan kerja-kerja pembaikan di maktab berkenaan.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Khazrin Haffiz Khalil memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka dan dikenakan jaminan RM30,000.

Beliau mencadangkan kes hari ini dibawa ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka dan dibicarakan bersama dengan tujuh lagi pertuduhan dihadapi tertuduh di sana, selain mengguna pakai ikat jamin terdahulu.

Mahkamah bersetuju dengan cadangan pendakwaan dan menetapkan 5 November ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.

Selain itu, tertuduh dibenarkan dibebaskan dengan ikat jamin kes terdahulu.

Tertuduh diwakili peguam Faidzal Latif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 12:37 PM