TEROWONG Menora. FOTO arkib NSTP
Shamsul Kamal Amarudin


KERAJAAN Perak akan melakukan inisiatif berunding dengan pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah kemalangan yang sering berlaku di laluan Terowong Menora dan kawasan berdekatan di situ.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, berkata, ia termasuk kemungkinan menghidupkan semula cadangan membina laluan alternatif yang boleh mengurangkan kejadian kemalangan di kawasan laluan berbukit dan curam itu.

"Ini inisiatif kerajaan negeri, kerana setiap kali musim perayaan akan berlaku kemalangan (di kawasan berkenaan) dan apabila ini berlaku, biasanya akan berlaku kesesakan teruk sehingga ke laluan berhampiran Taiping dan Plaza Tol Ipoh Utara di Tambun, betul-betul (laluan itu) bukan lagi untuk memudahkan rakyat tetapi kesesakan yang menekan rakyat.

"Saya sentiasa merasa bimbang dengan keadaan lebuh raya di Terowong Menora begitu bermasalah dengan sering berlaku kemalangan sehingga mengakibatkan kesusahan orang ramai. Saya sendiri pernah terbabit dalam kesesakan teruk sehingga program dirancang tergendala, ini tidak baik untuk rakyat," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menjadi deejay jemputan di konti radio Perakfm dengan menampilkan tetamu jemputan, sutradara tersohor tanah air kelahiran Perak, Mamat Khalid, di Ipoh, hari ini.


AHMAD Faizal (kanan) menemubual pengarah filem, Mamat Khalid ketika menjadi deejay jemputan di Perak FM. FOTO Muhaizan Yahya

Sabtu lalu, lima orang termasuk seorang bayi rentung selepas kereta yang mereka naiki dihimpit treler membawa muatan bijih besi sehingga ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan sebelum terbakar.

Kejadian 11.45 pagi itu berlaku di Kilometer 255.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat Terowong Menora, ketika laluan menurun di kawasan berbukit itu.

Ahmad Faizal berkata, ketika ini beliau tidak yakin banyak perkara boleh dilakukan di laluan berkenaan termasuk sama ada untuk memperbesar jalan atau melakukan lencongan berikutan kedudukan bentuk muka buminya.

Pada masa sama, beliau tidak melihat ada perkembangan positif terhadap cadangan syarikat swasta sebelum ini untuk membina laluan alternatif dari Plaza Tol Ipoh Selatan di Jelapang ke Selama yang tidak melalui kawasan Terowong Menora.

Beliau berkata, rundingan bersama PLUS itu akan turut membabitkan cadangan agar syarikat itu dapat memberi imbuhan ekonomi kepada kerajaan negeri seperti pengurniaan geran tanah di kawasan seperti Rehat dan Rawat (R&R) dengan cukai tanah pada kadar nominal.

"Daripada dulu kita ada laluan terpanjang (bagi Lebuhraya Utara Selatan), saya fikir pihak pengendali (PLUS) sudah dapat pulangan baik kepada mereka, boleh juga fikir imbuhan kepada kewangan negeri.

"Kerajaan negeri akan sentiasa bekerjasama dan berharap Kerajaan Persekutuan memikirkan satu jalan yang menang-menang kepada semua (kerana) apabila waktu pembinaan (lebuh raya) dulu, Perak terpaksa mengorbankan hutan rizab membabitkan penebangan pokok yang amat luas.

"(Jadi), daripada segi imbuhan balik dan ekonomi negeri perlu difikirkan sama," katanya sambil menjelaskan beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri, akan mewakili kerajaan negeri dalam perundingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 1:49 PM