Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


ENGGAN meneruskan hubungan dengan teman lelakinya, gadis sanggup minum cecair peluntur di rumah keluarganya di Batu 12, dekat Sandakan, semalam.

Gadis berusia 20 tahun yang juga penuntut universiti di Kota Kinabalu, mengalami muntah dan sakit perut kira-kira 9 pagi sebelum dihantar ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Duchess of Kent.

Menurut sumber, sebelum kejadian gadis itu dikatakan bertengkar dengan ibunya selepas ditegur supaya menjaga sikapnya di hadapan keluarga teman lelakinya yang datang ke rumah.

“Teman lelakinya datang ke rumah bersama ahli keluarga dipercayai untuk membincangkan berkenaan perkahwinan mereka. Bagaimanapun, gadis itu enggan meneruskan hubungan kerana mendakwa lelaki itu mempunyai hubungan dengan perempuan lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber itu berkata, gadis itu kemudian meminum cecair peluntur.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

“Gadis itu masih menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 2:35 PM