KEJADIAN berkenaan. FOTO Khairunisah Lokman
Nor Afzan Mohamad Yusof
cnews@nstp.com.my

VIDEO Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee bertegang leher dengan penduduk Kampung Pulau Nibong yang tular di media sosial terus mendapat kecaman daripada netizen.

Rata-rata netizen menyifatkan tindakan wakil rakyat itu sebagai tidak profesional dan terlalu beremosi dalam menangani masalah rakyat.

Insiden berkenaan berlaku apabila sekumpulan kira-kira 20 wakil penduduk kampung berkenaan, menghampiri dan menyapa Norhizam yang juga EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka.

Ketika itu, Norhizam hadir bagi menjelaskan isu penutupan jalan yang menjadi laluan utama penduduk selepas Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengambil keputusan menutup laluan itu, pada 2 Oktober lalu.

Isu penutupan dua jalan alternatif di Taman Akasia, Pengkalan Batu, Melaka yang digunakan penduduk Kampung Pulai Nibong sebagai laluan utama.

Dalam rakaman video berdurasi kira-kira dua minit itu, Norhizam dipercayai bercakap secara kasar dengan seorang lelaki warga emas dan beberapa penduduk Kampung Pulau Nibong yang tidak berpuas hati dengan keputusan penutupan jalan berkenaan.

Ada penduduk mendakwa langkah itu akan menyebabkan kesulitan kepada pengguna.

Norhizam bagaimanapun menegaskan keputusan penutupan jalan dibuat atas faktor keselamatan terutama kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, Norhizam menerusi laman web portal berita Melakakini, semalam, mempersoalkan mengenai video tular yang dikatakan tidak adil buat dirinya.

Justeru, beliau memberikan amaran keras supaya individu berkenaan menarik semula video itu atau mereka berdepan tindakan undang-undang.

Berita berkaitan

YB DAP bertegang urat leher ditegur penduduk

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 3:38 PM