Kapal tangki pembekal bahan bakar berkenaan. FOTO Ihsan Jabatan Laut Wilayah Selatan
Izlaily Nurul Ain Hussein

JABATAN Laut Wilayah Selatan menahan kapal tangki pembekal bahan bakar, selepas disyaki melakukan aktiviti pengisian minyak di laut yang menyalahi undang-undang, pada 3 Oktober lalu

Pada kejadian 11.30 pagi itu, kapal didaftarkan di Pelabuhan Klang terbabit ditahan ketika melakukan aktiviti mengisi minyak dari kapal ke kapal (STS) di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dekat Gelang Patah.

Menurut sumber jabatan berkenaan, kapal yang didaftarkan atas nama Abbas itu didapati menyalurkan 120 metrik tan minyak gas laut (MGO) kepada SafMarine Chilka yang berdaftar di Hong Kong di dermaga 10, PTP.

Katanya, selepas siasatan, pihak berkuasa mendapati kapal berkenaan tidak mematuhi Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar Malaysia 1952 yang mana setiap kapal perlu memaklumkan aktiviti di perairan Malaysia untuk diluluskan Pengarah Jabatan Laut.

“Difahamkan, pangkalan data perkapalan menunjukkan kapal tangki berkenaan diuruskan dan dimiliki oleh firma bungkusan Singapura Sirius Marine.

“Bagaimanapun, Sirius Marine mengesahkan bahawa ia dijual balik ke pihak lain pada tarikh yang lebih awal,” kata sumber itu.

Penahanan kapal itu disahkan Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan, Dickson Dollah.

Beliau ketika dihubungi berkata, kapal Abbas yang ditahan itu adalah milik syarikat yang berpangkalan di Singapura, namun menggunakan bendera Malaysia pada kapalnya.

“Kapal ini baru ditahan sekarang tetapi kita percayai mereka sudah tiga hingga empat kali melakukan kegiatan ini. Mereka dipercayai menggunakan dokumen palsu.

“Mungkin selama ini adalah masalah penguatkuasaan apabila mereka tidak semak secara teliti dokumen berkenaan dengan agensi yang mengeluarkan permit sah iaitu Jabatan Laut sendiri," katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan bagi aktiviti kapal di laut adalah di bawah bidang kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Namun, penahanan kapal Abbas oleh Jabatan Laut itu boleh dikatakan dibuat secara tidak sengaja kerana ia berlaku di pelabuhan, betul-betul di hadapan 'mata' mereka.

“Kebenaran berlabuh adalah dikeluarkan oleh kita selain kebenaran melakukan sebarang aktiviti di laut. Biasanya, apabila kita lihat pada radar, ada kapal yang mencurigakan, kita akan minta APMM untuk periksa.

“Bagi kes kapal Abbas ini, ia berlaku di pelabuhan, depan mata kita. Jadi, kita boleh periksa. Kita tahan kapal ini pun tidak sengaja kerana apabila kita dapat tahu mereka menjual minyak, kita terus membuat semakan rekod dan nama kapal itu tidak ada dalam rekod kami.

“Jika ada pun, sudah dibatalkan tetapi hairan bagaimana mereka boleh beroperasi. Jadi, kami bertindak menyemak dokumen mereka dan dapati salinan itu langsung tidak sama dengan yang asli seperti yang kami keluarkan," katanya.

Menurutnya, kapal Abbas kini ditahan di hadapan jeti pejabat Jabatan Laut Wilayah Selatan untuk siasatan.

Katanya, tangki kapal itu juga sudah disita oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), maka kapal berkenaan tidak boleh bergerak ke mana-mana sehingga selesai siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 4:20 PM