Anggota imigresen memeriksa premis bistro yang menggunakan khidmat wanita warga Thailand di Taman Rakyat Mergong. FOTO Ihsan JIM Kedah
Nordiana Shafiee


LIMA wanita warga Thailand dipercayai pelayan pelanggan (GRO) diberkas Jabatan Imigresen negeri dalam Op Mega 3.0 di premis bistro di Taman Rakyat Mergong, Alor Setar, tengah malam tadi.

Ketika serbuan bermula jam 1 pagi itu, semua wanita terbabit leka berhibur sambil melayan pelanggan mengunjungi bistro berkenaan.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi disertai 12 anggota penguat kuasa itu, seramai 16 pengunjung premis itu diperiksa termasuk warga asing yang bekerja di situ.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mengesan lima wanita warga Thailand berusia antara 22 dan 32 tahun melakukan kesalahan imigresen.

"Ketika serbuan dijalankan, semua pengunjung termasuk pekerja bistro ini tidak sempat meloloskan diri kerana pihak kami telah membuat kepungan di sekeliling premis.

"Pemeriksaan awal mendapati kelima wanita ini telah melanggar syarat pas diberikan dengan bekerja di premis bistro berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zuhair berkata, wanita terbabit akan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 12:20 PM