Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my

PEMANDU lori yang tular berikutan tindakannya memandu kenderaan itu melawan arus di Kilometer 432, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Buaya, Rawang, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini.

G Alagenran, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu sebuah lori Isuzu secara membahayakan kepada orang awam sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah lori jenis sama di Kilometer 432.5 Lebuhraya Utara- Selatan arah selatan berhampiran Plaza Tol Sungai Buaya, jam 7.01 malam, pada 7 Oktober lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie Mohamad menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.


Rakaman kejadian yang tular di media sosial.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Amirul Nazri Anas merayu jaminan itu dikurangkan dengan alasan tertuduh adalah penanggung utama keluarga dengan seorang isteri yang tidak bekerja serta empat orang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes.

NSTP melaporkan, sebuah lori melawan arus sejauh tiga kilometer di lokasi berkenaan sebelum kenderaan itu melanggar sebuah lagi lori yang berada di lorong sama.

Satu klip video berdurasi satu minit 25 saat yang menunjukkan kemalangan membabitkan dua buah lori tersebut tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 2:56 PM