Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


SEORANG daripada mangsa keracunan makanan dipercayai berpunca daripada laksa yang dibeli di gerai di Kupang, Baling, Kedah, mendakwa berasa tidak sedap badan hanya selepas kira-kira 30 minit memakan laksa dibeli anak sulungnya.

Termizah Abd Manaf, 58, berkata, dia menjamah laksa berkenaan ketika melihat anak sulungnya, Aida Ashikin Azalan, 33, memakannya di kediaman mereka di Kampung Kerunai, di Gerik pagi Sabtu lalu.

Menurut Termizah yang juga pengusaha katering, laksa berkenaan dibeli oleh Aida di gerai laksa yang agak terkenal di Kupang, Baling itu pada Khamis lalu ketika pulang daripada menziarah saudara yang sakit di Hospital Kulim, Kedah.

“Along (Aida) ke Kedah bersama ahli keluarga yang lain serta beberapa pekerja katering kami dengan menaiki dua kereta.

“Ketika pulang Khamis lalu, Along membeli berbelas bungkus laksa. Bagaimanapun, Along tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya bermalam di rumah mentuanya terlebih dahulu dan memberi beberapa bungkus laksa kepada saudara dan jiran mentuanya termasuk mangsa keracunan laksa yang maut, Raseah Ali Musa, 70,” katanya.

Termizah berkata, anaknya pulang daripada rumah mentuanya pada Jumaat dan membawa baki laksa yang dibeli pada Khamis.

“Keesokan harinya (Sabtu), saya lihat Along bersarapan laksa dan saya turut sama memakannya kerana laksa berkenaan memang kegemaran saya serta pernah memakannya sebelum ini.

“Dalam tempoh kira-kira 30 minit kemudian saya berasa tidak sihat dan terasa sejuk badan hingga menggigil sebelum mengalami cirit birit dan perkara sama dialami Along,” katanya yang menjalankan perniagaan katering sejak 30 tahun lalu.

Menurutnya, anaknya kemudian ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan, manakala dia masih dapat bertahan dengan ubat sedia ada.

Katanya, bagaimanapun pada Ahad lalu sakit perutnya semakin teruk dan terpaksa ke klinik untuk rawatan sebelum pihak Hospital Gerik menghubunginya kira-kira 10 malam hari sama dan mengarahkan Termizah segera ke Unit Kecemasan hospital berkenaan untuk rawatan segera.


TERMIZAH Abd Manaf. FOTO L. Manimaran

“Ketika itu juga saya dapat tahu ramai yang mengalami sakit perut termasuk pekerja katering kami selepas dipercayai memakan laksa yang dibeli anak dan lebih menakutkan apabila dimaklumkan terdapat dua kematian berkaitan laksa berkenaan.

“Saya bersama anak dan beberapa yang lain bagaimanapun tidak ditahan di wad mungkin kerana keadaan kami tidak berapa serius, namun berat badan saya susut dua kilogram (kg) dan Along susut lima kilogram akibat keracunan makanan itu,” katanya.

Termizah berkata, dia bagaimanapun tidak menyalahkan peniaga laksa berkenaan kerana sebagai pengusaha katering, dia faham tiada peniaga ingin kejadian sedemikian berlaku.

“Mana ada peniaga makanan yang ingin perkara macam ini berlaku dan ia tidak dijangka serta boleh dianggap sebagai dugaan kepada peniaga,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 61 kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di gerai di Kupang, Baling dengan dua kematian membabitkan mangsa Raseah Ali Musa, 70, dan orang kurang upaya (OKU), Abdul Rahim Abdul Manan, 28, yang kedua-duanya berasal dari Gerik.

Berita berkaitan:

'Mangsa tetamu majlis kesyukuran, rupanya...'

Pengusaha laksa kebok pasrah

[UPDATE] 42 lagi kes keracunan akibat laksa...?

[UPDATE] 'Reda dengan pemergian emak...'

'Kalau laksa beracun, dah lama kami mati'

Sah, dua maut 'makan' laksa...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 5:53 PM