Manirajan Ramasamy; Nor Azizah Mokhtar dan Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my


PROSES mengambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan disambung esok.

Ini bagi membolehkan agensi itu melengkapkan siasatan berhubung penyelewengan dana sebuah yayasan yang dikaitkan dengannya.

Ahmad Zahid yang dipanggil ke SPRM selama dua hari berturut-turut, semalam dan hari ini bagi membantu siasatan akan hadir semula ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pagi esok.

Sementara itu, proses mengambil keterangan hari ini selesai jam 6 petang selepas hampir sembilan jam berada di ibu pejabat SPRM sebelum Ahmad Zahid beredar tidak lama kemudian.

Ahmad Zahid ketika ditemui di perkarangan lobi bangunan SPRM sempat mengucapkan terima kasih atas kesetiaan lebih 30 pengamal media yang menunggunya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan media yang bersusah-payah menunggu saya daripada pagi sehingga petang,” kata beliau namun enggan mengulas berhubung sesi pengambilan keterangan terhadapnya.

Ketika ditanya adakah beliau akan hadir semula ke SPRM esok, beliau mengesahkan perkara itu.

“Saya datang lagi,” jawab beliau ringkas sebelum masuk ke kenderaanya.

Beliau yang memakai baju batik dan berseluar gelap kelihatan ceria serta sempat melambai ke arah pengamal media dari dalam kenderaannya sebelum beredar.

Difahamkam, Ahmad Zahid akan menyambung semula memberi keterangan ke ibu pejabat SPRM jam 9 pagi esok.


AHMAD Zahid Hamidi ketika sidang media selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Terdahulu, Ahmad Zahid, 65, tiba di ibu pejabat SPRM jam 9.16 pagi dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Lexus berwarna putih.

SPRM hari ini turut mengambil keterangan menantunya Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff yang juga suami kepada anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berhubung kes sama.

Semalam, Ahmad Zahid dan Nurulhidayah serta adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dipanggil ke SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Proses mengambil keterangan ke atas Ahmad Zahid dan Nurulhidayah berlarutan hampir lapan jam, namun status proses mengambil keterangan terhadap Mohamad Nasaee tidak dapat dipastikan.

Ini kali keempat Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diarahkan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk dirakam keterangan dengan kali pertama, kedua dan ketiga beliau hadir adalah pada 2 dan 3 Julai lalu serta semalam.

Pada Julai lalu, Ahmad Zahid dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dikaitkan dengan beliau untuk digunakan menjelaskan hutang kad kredit milik beliau dan isterinya.

Ahmad Zahid sebelum ini turut menjelaskan tiada sebarang penyelewengan berlaku ke atas dana Yayasan Akal Budi yang dikendalikan keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 7:55 PM