MUHAMAD Azrul Shazwan Mat Safie, 13, bersama ibunya Rosmawati Mat, 50, ketika ditemui di rumahnya di Taman Agropilitan, Rantau Manis. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
cnews@nstp.com.my


PESAKIT injap jantung berlubang, Muhamad Azrul Shazwan Mat Shafie, 13, tidak dapat menahan rindu pada rakan-rakan sekolahnya selepas dia sudah empat bulan tidak dapat ke sekolah kerana memerlukan rawatan susulan setiap masa.

Ekoran itu, ibunya Rosmawati Mat, 50, mengambil inisiatif membawa Muhamad Azrul ke sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap, Gua Musang, minggu lalu.

Kunjungan selama sejam itu digunakan Muhamad Azrul untuk bermesra dengan rakan-rakannya.

Rosmawati berkata, setiap hari anaknya menyuarakan perasaan rindunya untuk bersekolah semula walaupun tidak boleh berjalan kerana kedua kakinya bengkak akibat penyakit itu.

“Rakan-rakannya juga ada datang ke rumah menziarahi Muhamad Azrul. Sedikit sebanyak ia melegakan kesakitan yang dihidapi anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Agropilitan, Rantau Manis, Gua Musang.

Menurutnya, walaupun keadaan kesihatan anaknya semakin stabil tetapi hampir setiap malam dia terdengar suara anaknya itu mengerang dan memanggil namanya.

“Anak saya tidak boleh tidur terlentang dan terpaksa tidur atas kerusi yang saya sediakan kerana kedua kaki masih bengkak dan keluar air bisa,” katanya.

Selain menjalani rawatan moden, Rosmawati berkata, anaknya juga diberi rawatan secara tradisional.

“Saya bersyukur kerana kedua kaki anak saya yang bengkak semakin surut dan saya berharap agar dia akan dapat kembali ke sekolah dengan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 2:16 PM