AZHAR ketika mengadakan sidang media selepas meninjau proses pengundian bagi PRK Parlimen Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.
AZHAR ketika mengadakan sidang media selepas meninjau proses pengundian bagi PRK Parlimen Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.
Raja Noraina Raja Rahim


PERATUSAN keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini, mencatat 58.3 peratus dan lebih tinggi berbanding tiga PRK terdahulu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), malam ini.

Sebelum ini, SPR meletak sasaran 70 peratus pengundi keluar menunaikan kewajipan mereka bagi PRK Port Dickson.

Bagaimanapun, Azhar berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi itu kerana berlaku peningkatan berbanding PRK di Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia.

“Kita (SPR) mengambil tindakan proaktif untuk mempromosikan PRK Port Dickson melalui media sosial dan iklan, selain turut bekerjasama dengan Jabatan Penerangan.

“Kita menggerakkan unit bergerak bagi mengajak orang ramai keluar mengundi dan ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada proses pengundian hari ini,” katanya.

Menyentuh isu mengenai kesalahan pilihan raya yang dibangkitkan pada PRK kali ini, Azhar berkata, pihaknya akan mengkaji semula undang-undang dan peraturan sedia ada.

Untuk rekod, PRK DUN Sungai Kandis mencatatkan peratusan keluar mengundi 49.9 peratus manakala Balakong (43 peratus) dan Seri Setia (44 peratus).

  • Lagi berita PRK Port Dickson
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 9:18 PM