FOTO Hiasan
Irwan Shafrizan Ismail


PEPERIKSAAN bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018 akan dijalankan pada 16, 17, 18, 22 dan 23 Oktober ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini berkata, seramai 10,078 orang calon sudah mendaftar untuk menduduki STAM pada tahun ini di 257 pusat peperiksaan yang akan dibuka di Malaysia dan Kemboja.

“Seramai 2,724 membabitkan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

“Bagi calon sekolah menengah agama negeri seramai 4,896; sekolah menengah agama rakyat (851), calon persendirian (1,428) selain calon luar negara di Kemboja (122).

“Seramai 1,102 petugas peperiksaan sudah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon supaya merujuk kepada jadual waktu peperiksaan STAM 2018 untuk maklumat mengenai masa peperiksaan, arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.

“Calon diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 9:54 AM