FOTO Hiasan
Balqis Jazimah Zahari


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan sekiranya terdapat pemilik premis yang mahu membuka restoran atau kafe khusus untuk perokok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ketika ini memang ada beberapa kawasan tertentu yang tidak disenaraikan sebagai kawasan larangan merokok.

“Antara kawasan yang tiada laraNgan merokok adalah kelab malam dan pub, namun kementerian akan mempertimbangkan jika ada pihak yang ingin membuka restoran atau kafe khas untuk perokok.

“Bagaimanapun setakat ini kementerian belum pernah membincangkan perkara berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Gotong-Royong Perdana Cegah Denggi di Padang Medan Pengkalan Mutiara, di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan meneliti semua aspek berhubung pelaksanaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2019.

“Kita akan melihat dari satu ke satu kes dan bagi perkara ini (pembukaan kafe rokok), mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, berkenaan pembukaan ruang khas merokok di restoran pula, beliau berkata, KKM akan mengadakan pertemuan bersama pengusaha dan pemilik premis makanan dalam masa terdekat bagi membincangkan sama ada perlu atau tidak ruangan khas berkenaan.

“Kita masih berbincang perlu atau tidak ruangan merokok di restoran.

“Jadi, kita akan bertemu dengan pengusaha restoran supaya mereka faham hasrat kementerian untuk menjaga kesihatan dan kita tidak menggalakkan penyediaan ruangan itu,” katanya.

Beliau turut mengulas apabila ditanya berkenaan terdapat sesetengah pihak yang mempertikaikan hak orang ramai untuk merokok.

“Memang kalau kita hendak melihat kepada hak (hak orang yang merokok), tetapi yang penting adalah kita juga perlu menjaga hak yang tidak merokok dan ada hak untuk bebas daripada asap rokok.

“Jadi kita mempertimbangkan kedua-dua pihak, dan ini keputusan yang kita perlu buat dan keputusan ini dibuat kerana semua tahu merokok itu memudaratkan kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 2:24 PM