KEADAAN kanak-kanak berkenaan. FOTO Faliq Lajim

KANAK-KANAK perempuan berusia dua tahun yang parah dilanggar sebelum diseret kereta di sebuah stesen minyak di Pendamar Indah, Khamis lalu, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di Klang.

Ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Nur, 38, berkata, ketika kejadian petang Khamis lalu, dia mahu pergi ke pasar malam untuk membeli barang sebelum singgah mengisi minyak.

Katanya, sampai saja di stesen minyak berkenaan, anaknya yang hanya mahu dikenali sebagai Imana meminta untuk membeli ais krim.

“Saya suruh dia tunggu di hadapan pintu masuk kedai stesen minyak berkenaan sementara mengisi minyak.

“Namun, belum sempat saya hendak isi minyak tiba-tiba ada sebuah kereta meluru dan lalu melanggar anak saya dalam sekelip mata saja.

“Masa itu, bagai nak gugur jantung dan hampir pengsan melihat keadaan anak yang sudah berlumuran darah. Namun, saya harus kuatkan semangat untuk anak saya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Nur berkata, ketika mengangkat anaknya itu, dia sudah tahu kaki kanak-kanak itu patah.

Katanya, dia amat berterima kasih kepada orang ramai yang menolong anaknya termasuk seorang lelaki yang membawa mereka ke HTAR untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Ketika ini, anak saya sedang tidur namun kerap mengadu sakit. Kadang-kadang dia bertanya mana pergi kakinya berikutan ia masih dibalut simen.

“Anak saya sangat lincah dan suka berlari ke sana sini serta petah bercakap. Apabila melihat keadaannya begini, kami sangat sebak,” katanya.

Nur berkata, dia mengaku kecuaiannya dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang tuduhan.

“Saya mengaku kecuaian saya meletakkan anak di situ walaupun sebentar. Ibu mana yang tak sayang anak apabila melihat anaknya dilanggar sebegitu, tambahan pula ia berlaku di hadapan mata saya.

“Nasib baik kemalangan tidak membabitkan nyawa, kalau terjadi perkara sedemikian saya tidak tahu apa akan terjadi.

“Namun, saya kesal kerana pemandu terbabit memandu dengan laju dan tidak menghentikan kereta sebaik melanggar anak saya,” katanya.

Terdahulu, NSTP melaporkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah selepas diseret kereta di sebuah stesen minyak.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, kemalangan berlaku ketika seorang pemandu wanita hendak mengisi minyak kereta di stesen berkenaan.

Namun, wanita itu membatalkan hasrat dan memandu keluar sebelum melanggar kanak-kanak yang sedang melintas.

Akibat kemalangan itu, mangsa patah tulang paha kiri serta retak bahu kanan selain menerima lima jahitan di kening dan dahi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 6:28 PM