Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, menetapkan 14 November depan untuk ibu Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis memfailkan afidavit balasan terhadap bantahan awal dikemukakan menantunya berhubung permohonan warga emas terbabit mendapatkan sijil faraid bagi pembahagian harta Jamaludin yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie, Datuk Shamsuriah Sulaiman yang mewakili isteri Jamaludin, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, 62, selepas pengurusan kes di depan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Siti Zulaiha Mohamad Mansor.

Pengurusan kes itu turut dihadiri ibu bekas Ahli Parlimen Rompin itu, Aminah Abdullah, 84, yang diwakili peguam, Nur Hidayah A Bakar.


Aminah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, semalam.

Selain Kalsom, empat anak Jamaludin iaitu Ikhwan Hafiz, 31, Nur Anis, 33, Nurul Alyaa, 27, dan Noor Adila, 23, yang diwakili peguam syarie, Zuri Zabuddin Budiman turut memfailkan bantahan awal.

Pada 2 Mac lalu, Aminah memfailkan permohonan untuk mendapatkan sijil faraid ke atas harta pusaka milik anaknya mengikut Seksyen 46 (ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Antara harta yang perlu dimasukkan dalam senarai untuk difaraid adalah lebih 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Makkah serta syarikat milik Jamaludin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 10:27 AM