Ahli PKR menunjukkan kertas 'cai' pasukan Rafizi sebelum membuat e-undi untuk Cabang Setiawangsa di Taman Kejiranan Air Panas, Setapak. FOTO Aizuddin Saad
Khairul Azran Hussin

AMALAN politik wang yang berleluasa dalam pemilihan PKR perlu dihentikan sebelum ia menjadi `barah’ yang merosakkan parti, kata Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Beliau berkata, politik kotor untuk memenangkan puak tertentu dalam pemilihan turut menjejaskan keyakinan rakyat yang memberi kepercayaan kepada PKR sebagai parti kerajaan untuk mewujudkan negara bebas rasuah.

“Ada beberapa ahli yang ditawarkan wang oleh individu tertentu datang jumpa mengadu ditawarkan untuk mengundi calon tertentu. Bukan hanya saya sahaja menerima aduan, ramai lagi pemimpin PKR.

“Kenapa perkara ini berlaku dalam PKR? Kita kena ingat UMNO rosak disebabkan mereka membiarkan politik wang berleluasa dalam pemilihan parti. Adakah PKR merelakan parti ini disamakan dengan UMNO?” katanya kepada NSTP di Shah Alam, hari ini.

Abdullah Sani yang juga calon jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) digesa meneliti aduan salah laku pemimpin parti yang melanggar tatacara pemilihan, terutama politik wang.

“Aduan sudah dibuat kepada JPP tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan. Cuma saya berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi pada masa depan kerana harapan rakyat kepada PKR adalah tinggi,” katanya.

Semalam calon jawatan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa, politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Beliau yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai ‘sebelah sana’ mendakwa, suasana politik wang tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Rafizi turut mendakwa ada pihak tertentu menawarkan setiap cabang RM100,000 dan RM200,000 bagi memenangkan calon tertentu, selain ada ahli ditawarkan RM100 bagi satu undi.

Katanya, ahli parti turut diuji dengan politik wang yang dibawa golongan berduit yang `berminat’ dengan PKR selepas berjaya menjadi parti kerajaan.

Kerana itu antara sebab utama beliau mengambil keputusan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR adalah kerana untuk membendung budaya politik wang daripada terus merebak dalam parti ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 4:28 PM