JAIMI (tengah) dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan memukul isteri keduanya. FOTO Syarafiq Abd Samad
Sarah Zulkifli


TINDAKAN seorang pengawal keselamatan memukul isteri keduanya di muka dan tangan hingga cedera membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Mohd Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Jaimi Jaya, 35, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah dalam perbicaraan kes itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Turut kelihatan, kedua-dua isteri Jaimi yang berada di luar mahkamah.

Tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Manisha Jaimi, 25, dengan memukul wanita itu pada bibir, tangan dan kepala di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Pangsapuri Seri Pelangi, Jalan Puchong Utama 5, Taman Puchong Utama, Puchong jam 3.30 petang, 11 April lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.

Terdahulu, peguam Shahul Hamid yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya menyesal atas perbuatannya dan tidak akan melakukan kesalahan itu lagi.

“Saya pohon hukuman penjara minimum kerana ini adalah kesalahan pertama anak guam selain tertuduh menanggung bapanya yang sakit jantung serta mempunyai dua isteri,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, berlaku perselisihan faham antara Jaimi dengan isteri keduanya sebelum wanita itu dipukul di bahagian bibir, tangan dan kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 6:16 PM