Asmah Rusman
cnews@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan bercadang mewujudkan semula saluran televisyen pendidikan percuma dalam usaha mempelbagaikan lagi isi kandungan ilmiah kepada rakyat.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kementeriannya akan berbincang dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berhubung perkara itu.

“Saya masih ingat dahulu ada saluran percuma mengenai pendidikan di televisyen namun hari ini bukan lagi percuma dan saluran itu ditayangkan di saluran berbayar.

“Justeru, kementerian bercadang mahu mengembalikan saluran ini supaya kita dapat mendemokrasikan semula pendidikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Anugerah Pembestarian Sekolah Peringkat Kebangsaan di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Sulaiman Wak.

Mengulas lanjut, Dr Maszlee berkata, cadangan itu akan diperhalusi lagi supaya pelaksanaannya dapat memberi manfaat kepada semua.


MASZLEE (tengah) bersama sama Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab Kota Tinggi Johor, Zakaria Abdul Jalil (kiri) dan dua orang pelajar di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara. FOTO/ AZIAH AZMEE

“Jika sukar ditayangkan di saluran televisyen, banyak lagi cara boleh diguna pakai termasuk menggunakan portal web sebagai medium menayangkan saluran pendidikan itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya dalam proses mewujudkan aplikasi pendidikan berasaskan telefon pintar.

“Kita tahu teknologi telefon pintar semakin dekat dengan diri kita,” katanya. Ini adalah satu cara yang boleh kita lakukan supaya lambakan isi kandungan ilmiah dapat disalurkan menggunakan teknologi terbabit.

“Aplikasi ini sedang dibangunkan dan akan siap pada tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 10:36 AM