LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Luqman Arif Abdul Karim

ANGGOTA Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen akan ditempatkan di luar bilik menunggu khas orang kenamaan atau VIP di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 bagi menangani kegiatan haram, termasuk penyeludupan wang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ketika ini langkah untuk menempatkan pegawai daripada dua agensi penguat kuasa itu tidak dilakukan, sekali gus mengundang risiko penyeludupan.

“Kita ketahui ada kelemahan laluan VIP, justeru kita minta untuk mendapat kerjasama dengan agensi lain seperti imigresen dan kastam, selain Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mengetatkan langkah keselamatan.

“Kalau sebelum ini apa-apa urusan di bilik menunggu khas diuruskan pegawai pengiring, kini kita letakkan anggota kastam dan imigresen di laluan keluar orang kenamaan.

“Mesin pengimbas juga diletakkan di laluan keluar supaya sebarang kegiatan penyeludupan, termasuk membabitkan wang yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Pang Hok Liong (PH DAP-Labis) yang membangkitkan usaha kerajaan untuk menangani tindakan penyeludupan wang sebelum ini, menjangkau RM49 juta ke dalam negara berupaya dibanteras.

Kementerian Pengangkutan, pada 4 September lalu, mengarahkan MAHB supaya mengetatkan pemeriksaan di laluan orang kenamaan di semua lapangan terbang.

Arahan itu susulan laporan pendedahan NSTP bahawa pesawat atau jet persendirian yang ada kaitan dengan pemimpin atau orang kenamaan dipercayai digunakan untuk menyeludup masuk wang tunai dalam jumlah besar ke negara ini.

Ia berikutan kelonggaran penguatkuasaan dan pemeriksaan terhadap pesawat persendirian membawa golongan kenamaan, pegawai tinggi kerajaan atau individu dikaitkan dengan mereka.

Ia diburukkan lagi apabila mesin pengimbas di laluan keluar lapangan terbang jarang diguna untuk memeriksa bagasi atau barangan dibawa penumpang pesawat atau jet persendirian terbabit sehingga wang jutaan ringgit mampu diseludup keluar atau masuk tanpa pemeriksaan rapi.

Dipercayai, modus operandi itu juga diguna untuk membawa masuk RM49 juta (AS$12 juta) dari luar negara pada April lalu oleh sebuah agensi ada kaitan dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika pentadbiran terdahulu untuk tujuan politik termasuk bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai jumlah kes penyeludupan di laluan VIP dan langkah menaik taraf sistem keselamatan di lapangan terbang, Siew Fook menyifatkan, penguatkuasaan pemeriksaan itu tidak sewajarnya dipandang serong.

“Sejak kita ambil alih, tiada tindakan sebab belum ada penyalahgunaan, dulu tak pasti. Daripada segi tindakan, (saya akui) ada kelonggoran dulu, justeru kita akan ketatkan supaya tiada kes sedemikian.

“Ahli Parlimen yang mempunyai hak untuk menggunakan laluan kenamaan perlu beri kerjasama kepada pihak berkuasa lapangan terbang dan jangan merungut.

“Itu prosedur, siapa juga akan diperiksa,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 11:16 AM