MOHAMAD Adib (kiri) melihat cenderahati pengiktirafan kejayaan penerbangan 10,000 jam helikopter Super Lynx MK 100 tanpa kemalangan di Lumut, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


KEJAYAAN enam helikopter Super Lynx MK 100 di bawah Skuadron 501 Markas Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut melakukan penerbangan 10,000 jam sifar kemalangan diiktiraf pembuat pesawat itu, Leonardo.

Panglima Armada Barat TLDM Laksamana Madya Datuk Mohamad Adib Abdul Samad berkata, ia adalah pencapaian membanggakan dan cemerlang sekali gus membuktikan keupayaan aset serta kru SKUADRON 501 dalam melaksanakan misi yang ditugaskan.

“Pencapaian 10,000 jam penerbangan adalah hasil titik peluh semua kru Skuadron 501 dan lebih membanggakan ia dicapai tanpa membabitkan sebarang kemalangan atau kehilangan nyawa sejak hampir 15 tahun lalu.

“Ini menunjukkan tahap mereka (anggota dan kru) sangat bagus dan kita juga sentiasa berdoa tahap ‘flight safety’ terus dipertahankan dan sifar kemalangan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengiktirafan dan meraikan kejayaan enam helikopter Super Lynx milik TLDM yang berjaya mencapai 10,000 jam penerbangan pada 31 Ogos lalu, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Perniagaan Serantau Aeroangkasa, Pertahanan dan Keselamatan Leonardo, Roberto Parciasepe dan Ketua Rantau Asia Tenggara Leonardo, Lorenzo Pariani.

Mohamad Adib berkata, lebih membanggakan 10,000 jam penerbangan helikopter berkenaan bukan sahaja untuk latihan.

Malah, katanya, ia turut membabitkan pelbagai operasi seperti Ops Fajar di Teluk Aden, Somalia; Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah; operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 serta mematahkan cubaan rampasan kapal MV Nautica di Laut China Selatan, dekat Johor Bahru.

Katanya, sehingga kini semua helikopter pasukan TLDM berkenaan dalam keadaan baik biarpun sudah terbabit dengan pelbagai tugas, operasi dan misi.

“Apabila menyebut TLDM, semua akan ingat ia dilengkapi dengan kapal perang sahaja, tetapi sebenarnya TLDM juga mempunyai cawangan udara sendiri dengan enam helikopter Super Lynx dan enam helikopter Fennec.

“Ini (aset masih berada dalam keadaan baik dan kekal siaga) adalah kerana kompetensi serta kecekapan Skuadron 501 yang komited menjaga aset negara, kerana mengekalkan keupayaan helikopter memerlukan kemahiran di tahap tertentu,” katanya.

Katanya, TLDM menerima Super Lynx pertama pada 3 Mac 2003 manakala baki lima buah lagi diterima secara berperingkat sehingga Jun 2004.

Dalam pada itu, Mohamad Adib berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat menyediakan bajet untuk pembelian enam helikopter anti kapal selam dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) nanti.

“Kita boleh lihat di Laut China Selatan dan rantau lain, banyak negara sudah dilengkapi dengan kapal selam dan kita memerlukan helikopter yang berkeupayaan mengesan kapal selam.

“Justeru, kita berharap kerajaan dapat menyediakan bajet bagi pembelian pesawat berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 6:38 PM