LOKASI cadangan pembinaan jambatan bengkok. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Junita Mat Rasid

KEPUTUSAN membatalkan projek jambatan bengkok yang menghubungkan Johor dan Singapura sebelum ini adalah keputusan yang betul untuk tidak akur kepada tuntutan timbal Singapura yang membabitkan penjualan pasir dan penggunaan ruang udara Johor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kesal dengan pengumuman bahawa kerajaan akan mengadakan mesyuarat dengan Singapura untuk melihat kebarangkalian menghidup dan menjalankan semula projek jambatan bengkok itu.

Katanya, keseluruhan projek jambatan yang dihentikan pada tahun 2006 juga dibuat susulan bantahan kuat negara tersebut ke atas projek ini, selain dibuat selepas kejayaan Malaysia meneliti Wayleave Agreements, Perjanjian Air Singapura-Johor 1961 dan 1962, Perjanjian Pemisahan 1965 dan mengambil kira nasihat Pejabat Peguam Negara.

“Kerajaan sering menegaskan bahawa keputusannya adalah keputusan politik, yang bersandarkan sentimen, kedaulatan dan integriti rakyat Malaysia. Kesannya, Gerbang Perdana Sdn Bhd dibayar lebih daripada RM100 juta sebagai ganti rugi untuk menghentikan cadangan projek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor, berkata cadangan membina semula projek pembinaan jambatan bengkok ke Singapura adalah memeranjatkan kerana kosnya kini meningkat tiga atau empat kali ganda daripada kos asal iaitu RM1.1 bilion pada tahun 2003.

“Projek itu dianggarkan menelan belanja sebanyak RM1.1 bilion pada tahun 2003. Mengikut kadar semasa, kos projek ini boleh mencecah sehingga tiga hingga empat kali ganda.

“Adalah memeranjatkan untuk sebuah projek mega pada skala yang sangat besar ini mahu dihidupkan semula sedangkan matlamat kerajaan kini adalah untuk menguruskan struktur fiskal negara dengan lebih baik terlebih dahulu.

“Justeru, adalah tidak perlu untuk berbelanja secara tidak wajar dan terbabit dalam percaturan genting untuk membincangkan kebarangkalian menghidupkan semula projek ini semata-mata atas kepentingan politik, sedangkan pembinaan kereta api laju yang akan memangkin pelbagai aktiviti ekonomi di wilayah selatan Malaysia ditangguhkan kerana kedudukan fiskal negara yang lemah.

“Jadi, mana mungkin kerajaan mempertimbangkan untuk melabur wang secara besar-besaran dalam pembinaan jambatan bengkok,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, negara memerlukan keutamaan yang lebih besar dalam projek infrastruktur yang membawa faedah kepada seluruh Johor dan Malaysia secara keseluruhannya, malah, projek infrastruktur yang berimpak besar seperti Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), saluran paip gas asli Sabah juga sudah dibatalkan.

Katanya, jumlah dana yang sedemikian boleh diperuntukkan kepada pelbagai lagi projek pro-rakyat yang lain, yang boleh meringankan beban kos sara hidup atau melonjakkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

Sehubungan itu katanya, sekiranya perbincangan berkenaan pembinaan jambatan ini diteruskan, beliau menggesa kerajaan negeri Johor untuk melakukan satu analisis cost-benefit (faedah kos) ke atas kesesuaian untuk menghidupkan semula projek ini.

“Kajian sedemikian juga mesti mempertimbangkan kesan ke atas kedaulatan negara kita memandangkan kita boleh menjangkakan bahawa Singapura akan menuntut satu timbal balik yang lebih besar susulan pelaksanaan semula jambatan ini, yang sudah pastinya akan memberi kesan yang jauh lebih kritikal kepada kedaulatan negara kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 7:28 PM