Siti Nor Hidayatidayu Razali


GURU sekolah rendah didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan mencabul murid perempuan, dua bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nor Azlam Ab Rahman, 38, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh anggota badan kanak-kanak berusia 12 tahun di dalam makmal sekolah di Kota Bharu, 2.30 petang, 4 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Terhadap Kanak-kanak 2017 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan juga disebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Fellina Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.

Mohd Azrul Hasyimi memohon kepada mahkamah supaya anak guamnya dilepaskan dengan jaminan kerana pekerjaannya sebagai seorang guru dan tidak pernah melakukan sebarang kesalahan sebelum ini.

Namun, Hajarul Fellina tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan terhadap kanak-kanak itu adalah serius.

Ahmad Bazli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 1:41 PM
GURU (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencabul murid perempuan. FOTO Zaman Huri Isa