BAYI perempuan cukup sifat seberat 2.8 kilogram (kg) yang lengkap bertali pusat ditemui seorang lelaki di laluan pejalan kaki berdekatan kedai makan di stesen bas bandar Kota Bharu. FOTO Ihsan Pembaca
BAYI perempuan cukup sifat seberat 2.8 kilogram (kg) yang lengkap bertali pusat ditemui seorang lelaki di laluan pejalan kaki berdekatan kedai makan di stesen bas bandar Kota Bharu. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


BUNYI yang disangka kucing, membawa kepada penemuan bayi perempuan yang sedang menangis di laluan pejalan kaki berdekatan stesen bas di bandar Kota Bharu, hari ini.

Bayi cukup sifat seberat 2.8 kilogram (kg) tanpa berpakaian dan hanya berbalut kain warna gelap ditemui lelaki berusia 32 tahun pada 2.30 pagi.

Susulan itu, lelaki berkenaan memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, saksi lelaki bersama dua rakannya berada di kuanter tiket di perhentian bas yang terletak 150 meter dari lokasi penemuan bayi.

Katanya, saksi menyangka bunyi kucing dan curiga apabila tangisan semakin kuat apabila mendekati lokasi kejadian.

“Lelaki itu mendapati bayi perempuan tanpa pakaian dan hanya dalam balutan kain warna gelap sedang menangis. Bayi ditemui tanpa sebarang identiti dan tiada kelibat manusia di kawasan itu.

“Bayi itu diletakkan di atas timbunan barangan terpakai di tepi laluan pejalan kaki menuju ke perhentian bas.

“Bayi berkenaan tiada kecederaan dan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati bayi itu tiada suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin).

Katanya, siasatan mendapati terdapat dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan kes itu masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 2:01 PM