GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI sanggup mencuri telefon bimbit ibunya selepas permintaan untuk mendapatkan wang tidak diendahkan, di Jalan Kubong, Limbang, Sabtu lalu.

Kehilangan telefon bimbit itu disedari mangsa berusia 57 tahun kira-kira 7 pagi selepas memeriksa beg sandangnya dan sekitar rumahnya.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, siasatan awal mendapati anak lelaki mangsa yang berusia 32 tahun sering meminta wang daripadanya, namun tidak diendahkan.

Menurutnya, berang permintaan tidak dituruti ibunya menyebabkan suspek bertindak masuk ke dalam bilik ketika mangsa berada di dapur sebelum menyelongkar beg sandang dan melarikan telefon bimbit bernilai RM650.

"Berdasarkan keterangan yang diberikan mangsa, anak lelakinya sering mengamuk sekiranya permintaannya tidak dituruti khususnya membabitkan wang.

"Suspek yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah sebelum ini akan bertindak agresif dengan merosakkan barangan di rumah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Bukhori berkata, hasil risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang berjaya menahan suspek di kawasan kediamannya pada 12 tengah hari.

Beliau berkata, polis bagaimanapun tidak menemui telefon bimbit yang dicuri suspek walaupun lelaki terbabit mengakui mencurinya.

Katanya, suspek kini direman sejak Ahad lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 2:41 PM