LAPAN ulat parkir yang ditahan dalam operasi sekitar ibu kota, semalam.


TANPA mengeluarkan sebarang modal, penjaga parkir haram di sekitar ibu kota dikesan mampu menjana pendapatan mudah sehingga RM100 untuk satu malam.

Dengan mengenakan bayaran RM5 hingga RM10 bagi sebuah kenderaan, penjaga parkir didapati menyalahgunakan kawasan awam selain bahu jalan sebagai tempat untuk meletakkan kereta.

Kebiasaannya, mangsa kumpulan itu adalah pengunjung yang sedang mencari parkir berdekatan sebelum diarahkan meletakkan kenderaan di tepi jalan, namun mengenakan bayaran sehingga RM10.

Bertindak atas maklumat, Unit Risikan Operasi (RO) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod menjalankan Ops Parkir Haram di lima lokasi di sekitar ibu kota, malam semalam.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi selama tiga jam bermula jam 11 malam dijalankan di Jalan Ceylon, Jalan Changkat Tong Shin, Jalan Sahabat, Jalan Changkat Raja Chulan dan Jalan Nagasari.

“Hasil operasi ini, pihak kami menahan lapan individu yang didapati menjaga parkir secara haram di lokasi. Sebahagian daripada mereka didapati mempunyai pernah ditahan atas kesalahan sama sebelum ini.

“Lebih membimbangkan apabila kami mendapati salah seorang daripada mereka adalah penagih dadah yang menampung perbelanjaan bekalan dadah dengan menggunakan duit hasil kutipan parkir haram,” katanya.

Katanya, modus operandi mereka adalah mensasarkan kenderaan sedang mencari tempat letak kereta sebelum mengarahkan kenderaan terbabit untuk parkir dan mengenakan caj bayaran.

“Kenderaan diletakkan di tepi jalan dikenakan bayaran oleh ulat parkir antara RM5 hingga RM10.

“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gangguan dan desakan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 4:31 PM