LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Ibrahim Isa
Ibrahim@nstp.com.my


LAPAN individu termasuk ibu kepada kanak-kanak berusia 14 bulan yang maut akibat difteria di Johor, dikuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, lapan individu berkenaan dikuarantin selepas siasatan mendapati mereka mempunyai simptom penyakit sama.

“Lapan individu ini dikuarantin kerana dipercayai ada berhubung dengan kanak-kanak berkenaan.

“Buat masa ini, saya hanya boleh katakan ibu mangsa antara yang menghidap simptom penyakit berkenaan," katanya ketika dihubungi NSTP.

Dr Sahruddin berkata, kesemua lapan individu berkenaan ditahan di rumah masing-masing di sekitar Johor Bahru.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan media mengesahkan kematian seorang bayi perempuan berusia 14 bulan akibat difteria di Johor Bahru, 15 Oktober lalu.

Menurut KKM, kanak-kanak itu tidak menerima sebarang imunisasi difteria dan disahkan meninggal dunia akibat penyakit berkenaan dan kegagalan organ.

Difahamkan, lapan individu itu dikuarantin di rumah selama 14 hari bermuka tarikh kanak-kanak itu meninggal dunia.

Pada masa sama, mereka dipantau pasukan perubatan.

Berita berkaitan:

Bayi maut akibat difteria

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 11:52 PM