RAKAMAN CCTV yang menunjukkan mangsa diheret keluar sebelum ditampar, ditendang dan dicekak lehernya.
Jalal Ali Mohd Abdul Rahim

SEORANG daripada dua suspek yang ditahan berhubung kes pukul dan baling objek kepada pekerja stesen minyak di Sungkai, 6 Oktober lalu, mempunyai rekod jenayah lampau.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, lelaki berusia 40 tahun itu mempunyai rekod mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) iaitu kes mencederakan orang.

Beliau berkata, suspek berkenaan ditahan di Sri Sentosa, Batu 6, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, 9.45 malam kelmarin.

Katanya, lelaki itu adalah tangkapan pertama kes amukan kumpulan motosikal di Petronas Sungkai yang disiasat mengikut Seksyen 147 KK kerana merusuh.

"Suspek ada rekod lampau mengikut Seksyen 324 KK iaitu mencederakan orang.

"Suspek berkenaan sudah direman selama empat hari mulai kelmarin," katanya dalam kenyataannya di Ipoh, hari ini.

Yahya berkata, tangkapan kedua suspek berusia 25 tahun yang juga seorang peniaga berasal dari Cheras, Kuala Lumpur, pula dibuat pada 4.25 petang semalam.

"Suspek serah diri dengan peguam di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Tapah.

"Reman ke atasnya akan dipohon pagi ini.

"Pihak polis meminta rakan (suspek) yang lain tampil ke IPD Tapah atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan," katanya.

Klip video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian pukul yang menjadi tular itu menunjukkan mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki termasuk yang memakai topi keledar dari dalam stesen berkenaan sebelum dipukul hingga terjatuh dan dibaling objek pada 12.45 tengah hari, pada hari kejadian.

Berita berkaitan:

Dua suspek pukul pekerja Petronas ditahan

[UPDATE] Polis cari dua lelaki ini

Mangsa belasahan trauma [METROTV]

Tersilap minyak punya pasal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 9:09 AM