FOTO Hiasan
Siraj Mohd Zaini


PELBAGAI taktik dan modus operandi digunakan penjual produk kosmetik ‘haram’ termasuk memasarkannya melalui perkhidmatan atas talian bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan itu tidak bertahan lama selepas Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor menjalankan beberapa serbuan di sekitar negeri ini pada 16 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, pihaknya merampas sebanyak 2,669 kotak produk kesihatan dan kosmetik tidak berdaftar serta tiada bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dianggarkan bernilai RM407,000.

Menurut beliau, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya mengenai kegiatan berkenaan.

“Semua produk itu dirampas mengikut Akta Jualan Dadah 1952. Jika sabit kesalahan, individu terbabit akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

“Manakala, bagi kesalahan berikutnya, pesalah akan dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di Shah Alam, hari ini.

Khalid berkata, orang awam dinasihatkan tidak menggunakan produk tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan kementerian.

“Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik menerusi laman npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.

“Selain itu, orang ramai digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkaitan produk meragukan sebagai usaha bersama kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan,” katanya.

Kata beliau, aduan dan maklumat turut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi KKM menerusi laman www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di laman moh.spab.gov.my.

“Selain itu, aduan boleh disalurkan kepada mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi di setiap negeri supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seumpama itu di pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 12:21 PM