DUA pelajar lelaki Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta di Jalan Wallagonia 1, Taman Universiti, Tapah Road, Tapah, pagi tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Farah Suhaidah Othman


DUA penuntut lelaki Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah maut selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta di Jalan Wallagonia 1, Taman Universiti, Tapah Road, Tapah, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Muhammad Farid Abd Aziz, 20, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan pemboncengnya, Muhamad Firdaus Mohd Nor, 19, maut di lokasi kejadian.

Seorang pelajar perempuan universiti sama berusia 19 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Axia bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan menghala ke rumah.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa merempuh kereta yang secara tiba-tiba keluar dari simpang kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng parah sebelum kedua-duanya disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan berkenaan adalah jalan lurus dan mempunyai dua lorong manakala keadaan cuaca juga baik.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 4:24 PM