GAMBAR hiasan
BERNAMA

BIASISWA GREAT 2019-Malaysia menawarkan biasiswa bernilai lebih RM500,000 kepada penuntut Malaysia yang layak untuk melanjutkan pengajian bagi program pasca siswazah di United Kingdom (UK).

Biasiswa yang julung kali ditawarkan itu ialah skim di bawah kempen Pengajian British Council, yang menggalakkan dan menyokong individu untuk melanjutkan pengajian tinggi di UK, kata Pengarah British Council Malaysia Sarah Deverall.

Beliau berkata, lima universiti UK iaitu Aberystwyth University, Queen's University Belfast, University of Kent, University of Stirling dan University of Warwick menjalin kerjasama dengan British Council dalam menawarkan peluang bagi biasiswa itu dalam mana-mana bidang pengajian.

"UK menarik lebih 17,000 pelajar Malaysia setiap tahun, kebanyakan mereka ke UK untuk pengajian peringkat ijazah.

"Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, trend menunjukkan terdapat peningkatan dalam jumlah pelajar Malaysia berminat melanjutkan pengajian bagi program pasca siswazah di UK," katanya pada taklimat media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Deverall berkata, jumlah penuntut peringkat pasca siswazah adalah kira-kira 15 peratus daripada jumlah penuntutMalaysia di negara itu.

Beliau berkata, pengajian peringkat pasca siswazah lebih menarik kerana tempoh program itu lebih singkat.

"Kebanyakan ijazah pasca siswazah UK hanya mengambil masa setahun, menjadikan kos keseluruhannya lebih mampu berbanding di negara lain," katanya dan menurutnya biasiswa itu hanya ditawarkan bagi program pasca siswazah selama setahun bagi tahun akademik 2018/2019.

"Penuntut Malaysia yang berminat memohon biasiswa itu perlu sudah menerima tawaran kemasukan daripada universiti yang menyertai program ini, dan perlu memenuhi semua syarat kemasukan bagi kursus yang dipilih seperti dinyatakan oleh universiti masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 4:01 PM