SOI Lek (kiri) pada pelancaran buku biografinya, semalam.
Mohd Anwar Patho Rohman

Kuala Lumpur: Tan Sri Dr Chua Soi Lek mencadangkan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) keluar daripada gabungan itu kerana ia tidak lagi menjadi jenama pilihan rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bekas Presiden MCA itu berkata, BN kini menjadi parti yang tidak lagi diyakini rakyat disebabkan pelbagai isu dan krisis kepercayaan yang dihadapi gabungan itu.

Justeru, beliau berpendapat parti komponen BN, khususnya UMNO, MCA dan MIC perlu keluar serta berdiri sendiri bagi mengelak ahlinya terus berdepan masalah.

“BN bukan lagi satu jenama (pilihan rakyat). MCA kena terima hakikat dan perlu keluar untuk berdiri sendiri serta memikirkan langkah seterusnya selepas itu.

“MCA tidak boleh asyik membangkitkan isu berasaskan kaum saja seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) saja, sekolah persendirian dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

“MCA patut membangkitkan semua isu yang merentas pelbagai kaum kerana negara ini negara majmuk.

“Kes mahkamah dan salah guna kuasa semua pemimpin UMNO pula tidak akan membantu BN. Mereka dulu adalah kerajaan dan perlu bertanggungjawab terhadap kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Itulah akauntabiliti.

“Kes membabitkan pemimpin UMNO, (Datuk Seri) Najib (Razak) dan isteri (Datin Seri) Rosmah (Mansor) serta (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi dan banyak lagi pemimpin semua ini menghakis keyakinan rakyat (kepada BN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan buku biografinya Like Me Or Hate Me, Rising From The Politcal Ashes - The Memoirs Of Chua Soi Lek, di sini, semalam.

Sementara itu, ketika menjawab soalan mengapa MCA tewas pada PRU-14, Dr Soi Lek berkata, pengundi terutama kaum Cina mempunyai satu matlamat iaitu hendak menukar kerajaan pada PRU-14.

“DAP bernasib baik kerana menjadi ‘tong sampah’ untuk mengutip undi mereka yang hendak menukar kerajaan BN,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Soi Lek berkata, beliau akan membawa MCA keluar BN selepas parti itu tewas pada PRU-14 jika masih mengemudi parti itu.

Beliau turut mempersoal kepemimpinan parti yang tidak mampu membuat keputusan mudah itu selepas parti hilang sokongan dan kepercayaan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 10:31 AM