DR MAHATHIR (kanan) pada program itu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Khairul Azran Hussin dan Siraj Mohd Zaini


UMNO yang dahulunya memperjuangkan agama, bangsa dan negara disifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sudah tiada di negara ini.

Perdana Menteri berkata, parti yang pernah dipimpinnya dahulu itu sentiasa berusaha memperjuangkan nasib rakyat agar terbela, namun kini ia sudah tersasar dari matlamatnya.

“Perjuangan UMNO ialah untuk kekalkan Najib (Datuk Seri Najib Razak) sebagai pencuri yang terbesar.

“Itu bukan UMNO, UMNO sudah tiada," katanya pada program Bicara Minda di Seksyen 15, di Shah Alam, hari ini.

Program itu dikendalikan oleh Moderator Tan Sri Johan Jaafar. Hadir sama ialah Tun Dr Siti Hasmah.

Dr Mahathir berkata, wujud juga ahli UMNO yang fanatik dengan pemimpin mereka meskipun penjelasan sudah diberikan terhadap isu salah laku yang dibangkitkan termasuk membabitkan pemimpin parti.

“Mereka menyokong secara membuta tuli. Kalau kita terangkan pun dia kata duit itu daripada tok Arab, tok Arab gila mana yang nak bagi duit sebanyak itu," katanya.

Beliau berkata, masyarakat Cina di negara ini dilihat tidak terlalu taksub dengan sesebuah parti dan memilih mereka yang komited memperjuangkan nasib rakyat.

“Orang Cina, mereka tidak peduli parti, Mereka kira, kalau ini merugikan bangsa mereka, mereka akan meninggalkan parti itu, mereka pilih parti lain. Dia tidak ikat diri dia kepada parti sehingga tidak boleh fikir.

“Dia nampak MCA tidak betul, dia pergi kepada DAP. Dia nampak DAP tidak betul dia pergi kepada MCA. Tapi orang UMNO, betul tak betul pun, penyangak ke pencuri ke, ini UMNO, kita sokong," katanya.

Ditanya jika ada mana-mana pihak yang merasakan UMNO melakukan perkara tidak betul, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, mereka boleh memasuki partinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 8:31 PM