BOT yang ditinggalkan suspek dibawa pulang ke jeti oleh anggota APMM.
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Seorang nelayan nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan rawa sorong di perairan negara, kelmarin.

Bot nelayan tempatan itu dikesan pada kedudukan kira-kira 1.8 batu nautika dari Sungai Belukang, dekat Hutan Melintang, Bagan Datuk, jam 9.10 pagi.

Bot itu hanya dikendalikan seorang individu.

Lelaki terbabit dikatakan berenang ke pantai berhampiran untuk melarikan diri dan kejadian itu berlaku di kawasan air cetek dengan anggaran kedalaman air cuma 0.3 meter.

Identiti dan warganegara individu terbabit tidak dapat dikenal pasti dan bot yang ditinggalkan itu kemudian dibawa pulang ke jeti oleh anggota APMM.

Pengarah Maritim Perak Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Bot Petir melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara.

Katanya, Bot Petir cuba mendekati sebuah bot nelayan tempatan yang melakukan aktiviti penangkapan ikan dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila Bot Petir menghampiri bot terbabit nelayan itu bertindak terjun ke laut dan berenang ke pantai berhampiran bagi meloloskan diri menyebabkan botnya dirampas,” katanya menerusi kenyataan, di sini, semalam.

Wan Mat berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan bot berkenaan dibawa ke Jeti Kampung Acheh, Sitiawan dan tiba jam 3.30 petang kelmarin untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau berkata, nelayan pantai sering membuat aduan mengenai kegiatan rawa sorong di perairan Perak yang menjadi punca rezeki mereka terganggu.

“Saya meminta kepada nelayan terbabit supaya menghentikan sebarang aktiviti tidak bertanggungjawab dan menyusahkan nelayan tradisional.

“Nelayan juga diminta terus bekerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat membabitkan bot nelayan yang melanggar syarat lesen menangkap ikan serta melakukan pencerobohan di zon tangkapan ikan di perairan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 10:59 AM