JEFFREY Kitingan. FOTO arkib NSTP
Olivia Miwil


BIAR rakyat Sabah menentukan ketua menteri pilihan mereka melalui proses pilihan raya negeri, kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas menjelang keputusan siapa ketua menteri Sabah secara sah yang dijadual diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Khamis ini.

Jeffrey ketika dihubungi NSTP mengulangi pendiriannya bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman adalah ketua menteri Sabah yang sah.

“Kita tunggu keputusan mahkamah (Khamis ini) kerana apa-apa boleh berlaku selepas itu. (Bagaimanapun) Seperti saya katakan sebelum ini, jika kita mengikut undang-undang dan Perlembagaan, orang pertama mengangkat sumpah adalah ketua menteri yang sah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau dan ADUN Tambunan berkata, jika keputusan mahkamah berpihak kepada Musa, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu memanggil untuk mengadakan pilihan raya negeri.

“Ini adalah penyelesaian yang lebih baik untuk semua (menentukan siapa ketua menteri Sabah),” katanya.

Jun lalu, Musa memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie berkaitan isu pelantikan ketua menteri.

Writ saman itu difailkan menerusi firma guaman Messr FT Ahmad and Co yang mewakili Musa, menggantikan saman difailkan pada 17 Mei lalu yang dibatalkan.

Saman berkenaan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal ketua menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai ketua menteri oleh Yang di-Pertua Negeri pada 12 Mei lalu adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Pada 5 Jun lalu, Mohd Shafie mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman Musa atas alasan ADUN Sungai Sibuga itu tidak mempunyai alasan munasabah untuk mencabar pelantikannya.

Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Juhar pada 10 Mei lalu berdasarkan majoriti 31 kerusi menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN) dan STAR.

Bagaimanapun, dua hari kemudian Musa hilang majoriti apabila beberapa wakil rakyat BN menyokong gabungan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan dengan Mohd Shafie sebagai ketua menteri.

Sementara itu, ADUN Tamparuli daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim berkata, wakil rakyat pembangkang akan mengadakan mesyuarat pada malam ini, antara lain membincangkan langkah seterusnya apabila mahkamah membuat keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 2:38 PM