X
Nama K1M akan digantikan dengan Klinik Komuniti.
Nama K1M akan digantikan dengan Klinik Komuniti.
Rohaniza Idris

SEBANYAK 293 Klinik 1Malaysia (K1M) di seluruh negara akan dijenamakan semula sebagai Klinik Komuniti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 20 daripada 347 K1M pula akan dinaikkan taraf kepada Klinik Kesihatan manakala 34 yang lain bakal ditutup secara berperingkat.

Katanya, usaha yang sedang dilaksanakan kementerian itu adalah pelan reformasi K1M untuk memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada, selain menyusun keperluan dan pengurusan sumber.

“Reformasi ini bakal menambah baik mutu penjagaan kesihatan kepada golongan sasar dengan menambah fungsinya dalam perkhidmatan rawatan pesakit luar yang memberi fokus kepada rawatan dan kawalan penyakit tidak berjangkit serta kecemasan asas.

“Sekali gus ia membezakan fungsi antara Klinik Komuniti dan Klinik Desa yang mempunyai fokus perkhidmatan kesihatan ibu dan anak,” katanya menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN UMNO-Lipis) mengenai impak positif penjenamaan semula K1M kepada Klinik Komuniti pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Jun lalu kerajaan mengumumkan semua K1M akan dikaji sebelum dinaikkan taraf, dijenamakan semula atau ditutup.

Menjawab soalan tambahan Abdul Rahman mengenai kekurangan doktor dan rasional penutupan 34 K1M, Dr Dzulkifli berkata masalah kekurangan itu diambil kira dalam memantapkan lagi perkhidmatan K1M.

“Kita akan menempatkan pegawai perubatan dan pegawai farmasi di semua 293 buah Klinik Komuniti secara berperingkat.

“Penutupan 34 K1M pula dibuat selepas kajian dijalankan mendapati lebih baik ia ditutup kerana membabitkan kos dan kakitangan yang tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 5:55 PM