PEMANDU ambulans maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan itu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 194.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Kamunting, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Farah Suhaidah Othman


PEMANDU ambulans swasta maut manakala penumpangnya cedera selepas kenderaan itu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 194.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Kamunting, hari ini.

Dalam kejadian 5 petang itu, Nuril Anwar Rusdi, 22, yang memandu ambulans berkenaan maut di lokasi kejadian manakala penumpangnya, R P Thanaventan, 21, cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata siasatan awal mendapati ambulans dipandu Nuril Anwar dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan itu hilang kawalan sebelum merempuh penghadang di sebelah kiri lebuh raya.

“Berikutan itu, ambulans berkenaan terbabas ke lorong kanan dan merempuh pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan itu, pemandunya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui kesan pelanggaran pada penghadang sebelah kiri lebuh raya berkenaan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi kejadian diminta menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 10:19 PM